Oleh Siti Noor Kamaliah Mat Jusoh
Foto oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
BANGI, 3 Mei 2026 – Program Profesor Pelawat Antarabangsa Siri 1/2026 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi (PPE), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), 鶹 menjadi platform bagi kerjasama akademik dan penyelidikan dengan institusi antarabangsa melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan jaringan profesional.
Program ini menampilkan Profesor Dr. M. Ishaq Bhatti dari La Trobe University, Australia, dan Universiti Brunei Darussalam sebagai profesor pelawat, yang merupakan seorang tokoh akademik antarabangsa dalam bidang kewangan (kewangan Islam), ekonometrik kewangan dan analitik data kewangan.
Profesor Bhatti memiliki rekod akademik yang cemerlang dengan lebih daripada 200 penerbitan ilmiah merangkumi artikel jurnal, buku dan bab dalam buku yang diterbitkan dalam jurnal bereputasi serta diindeks dalam pangkalan data antarabangsa seperti Scopus dan Web of Science (WoS).
Selain itu, beliau juga aktif sebagai ahli lembaga editorial jurnal akademik serta penasihat dalam pelbagai inisiatif penyelidikan global.
Menurut Pengerusi PPE FEP, Prof. Madya Dr. Hairunnizam Wahid, pemilihan beliau sebagai Profesor Pelawat adalah berasaskan kepakaran serta sumbangan signifikan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
“Kehadiran beliau dijangka dapat memperkukuh perkongsian kepakaran dalam metodologi penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama penyelidikan antarabangsa, selaras dengan agenda pengantarabangsaan universiti,” katanya.
Program ini turut disokong melalui sesi wacana akademia-industri yang menghimpunkan pakar dalam bidang ekonomi dan pembangunan halal serta bengkel penyelidikan yang memberi pendedahan kepada pelajar siswazah dan ahli akademik muda dalam bidang penyelidikan.
“Program ini menyokong pembangunan kapasiti staf akademik serta memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui pelbagai aktiviti ilmiah yang dianjurkan.
“Program ini dijangka memberi impak signifikan kepada fakulti dan pelajar, khususnya dalam meningkatkan kompetensi akademik, memperkasa penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi, serta memperkukuh reputasi fakulti di peringkat nasional dan antarabangsa,” jelas Prof. Madya Dr. Hairunnizam.
