Oleh Prof Madya Dr Haslina Rani, Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Fakulti Pergigian , 集美麻豆
Ramai orang menyedari penglihatan semakin kabur apabila usia meningkat. Ada juga yang mula menerima hakikat lutut semakin lemah atau pendengaran tidak lagi setajam dahulu. Namun, tidak ramai sedar bahawa mulut juga boleh menjadi semakin lemah apabila meningkat usia.
Perubahan ini selalunya berlaku perlahan-lahan dan sering dianggap perkara biasa. Ada warga emas yang mengambil masa lebih lama untuk menghabiskan makanan. Ada yang mula mengelak dari memakan makanan tertentu kerana sukar dikunyah. Ada juga yang kerap batuk atau tersedak ketika minum air. Malah, ada yang semakin kurang bercakap kerana pertuturan menjadi kurang jelas. Semua ini mungkin petanda bahawa fungsi mulut mula merosot.
Mulut yang sihat bukan sekadar mempunyai gigi yang cantik atau bebas daripada penyakit. Mulut mempunyai pelbagai fungsi penting dalam kehidupan harian. Kita menggunakan mulut untuk mengunyah makanan, menelan, bercakap, merasa makanan, dan berinteraksi dengan orang lain.
Dalam bidang kesihatan, fungsi mulut yang semakin merosot ini dikenali sebagai oral frailty atau kelemahan fungsi mulut. Ia bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi berterusan sedikit demi sedikit melangkaui tempoh masa yang lama. Jika tidak diberi perhatian, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup seseorang warga emas.
Antara tanda kelemahan fungsi mulut yang sering berlaku ialah makanan mudah tertinggal di dalam mulut, sukar mengunyah makanan keras, mulut terasa kering, pertuturan kurang jelas atau mudah tersedak ketika makan dan minum. Ada juga warga emas yang mula mengelakkan aktiviti makan bersama keluarga kerana malu atau tidak selesa.
Masalah ini bukan sekadar menyukarkan proses makan. Apabila seseorang sukar mengunyah atau menelan, pengambilan makanan akan terjejas. Mereka mungkin memilih makanan yang lebih lembut tetapi kurang berkhasiat. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyumbang kepada kekurangan zat makanan, penurunan berat badan dan kelemahan fizikal.
Risiko tersedak juga boleh meningkat apabila fungsi menelan semakin lemah. Dalam sesetengah keadaan, makanan atau air boleh masuk ke saluran pernafasan dan menyebabkan jangkitan paru-paru, terutamanya dalam kalangan warga emas yang uzur.
Selain itu, fungsi mulut yang lemah turut boleh mempengaruhi kehidupan sosial seseorang. Kesukaran bercakap atau rasa malu terhadap keadaan mulut boleh menyebabkan warga emas kurang berinteraksi dengan orang sekeliling. Sedikit demi sedikit, mereka menjadi lebih pasif dan terasing.
Walaupun keadaan ini sering dikaitkan dengan penuaan, ramai tidak mengetahui bahawa fungsi mulut sebenarnya boleh dilatih dan kadar kemerosotan fungsi mulut boleh diperlahankan. Sama seperti otot badan yang memerlukan senaman, otot dan fungsi mulut juga memerlukan rangsangan dan latihan yang berterusan.
Di Jepun, senaman mulut semakin mendapat perhatian sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan warga emas. Antara latihan yang sering digunakan ialah latihan menyebut suku kata 鈥減a-ta-ka鈥 secara berulang. Latihan ini membantu melatih pergerakan bibir dan lidah yang penting untuk pertuturan dan proses menelan. Warga emas juga boleh melakukan gerakan lidah ke kiri dan kanan, mengembungkan pipi, atau latihan menelan secara terkawal.
Urutan ringan pada kawasan pipi dan bawah rahang juga boleh membantu merangsang penghasilan air liur bagi mereka yang mengalami mulut kering. Senaman-senaman ini kelihatan mudah, tetapi boleh memberi manfaat apabila diamalkan secara konsisten, setiap hari.
Ahli keluarga dan penjaga juga perlu lebih peka terhadap perubahan kecil yang berlaku pada warga emas. Kadangkala, tanda awal kelemahan fungsi mulut tidak disedari kerana dianggap sebahagian daripada proses penuaan biasa. Intervensi awal boleh membantu memperlahankan kemerosotan fungsi tersebut.
Penuaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, kehilangan fungsi mulut bukanlah sesuatu yang perlu diterima tanpa usaha. Mulut yang sihat dan berfungsi dengan baik membolehkan seseorang makan dengan selesa, bercakap dengan yakin dan menikmati kehidupan sosial dengan lebih baik.
Selain senaman mulut, penjagaan kesihatan mulut secara keseluruhan juga penting. Pemakaian gigi palsu yang sesuai, penjagaan kebersihan mulut, serta pengambilan makanan seimbang turut memainkan peranan dalam mengekalkan fungsi mulut yang baik. Elakkan tabiat yang memudaratkan seperti merokok, penggunaan pengewapdan pengambilan minuman beralkohol. Akhir sekali, dapatkan pemeriksaan pergigian berkala setiap tahun untuk melengkapkan penjagaan kesihatan mulut.
