Oleh Prof. Madya Dr. Emelia Osman, Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, 集美麻豆
Kisah kehilangan pendaki wanita di sebuah gunung di Perak baru-baru ini menggemparkan rakyat Malaysia, dan penemuannya dalam keadaan selamat selepas dua minggu berada dihutan turut memberi kelegaan kepada semua. Wanita berusia 49 tahun ini dapat bertahan di dalam hutan belantara dengan hanya meminum 鈥榓ir hitam鈥, 鈥榓ir coklat鈥 dan air daripada periuk kera untuk meneruskan hidup.
Sepanjang berada di dalam hutan, setiap tegukan air bukan lagi soal pilihan, tetapi soal hidup atau mati. Dalam keadaan tubuh semakin lemah, tekak semakin kering dan tenaga semakin berkurangan, sesiapa sahaja akan melakukan apa yang perlu untuk terus hidup. Namun apakah kesan sampingan dan ancaman-ancaman lain daripada meminum air-air itu?
Air hutan tidak semestinya bersih
Ramai orang beranggapan bahawa air di kawasan hutan adalah bersih kerana ia datang terus daripada alam semula jadi. Hakikatnya, dalam bidang parasitologi, air yang kelihatan jernih belum tentu selamat diminum, malah antara sumber air yang sering dianggap selamat sebenarnya mempunyai risiko pencemaran yang tinggi.
Sebagai contoh, sungai yang mengalir jernih di kawasan hutan sering menjadi pilihan utama pendaki yang kehausan. Airnya sejuk, segar dan nampak bersih. Namun, apa yang ramai tidak sedar ialah sungai tersebut mungkin membawa sisa najis haiwan liar dari kawasan hulu. Setiap kali hujan turun, najis yang mengandungi telur cacing dan sista parasit boleh dihanyutkan ke dalam aliran sungai tanpa disedari. Lebih membimbangkan, semua pencemaran ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Periuk Kera: Penyelamat atau Perangkap Biologi?
Dalam banyak kisah survival, air daripada periuk kera sering dianggap sebagai sumber air kecemasan yang selamat. Sebenarnya, keadaan tidak semudah itu.
Sebagai tumbuhan pemangsa, periuk kera berfungsi memerangkap serangga untuk mendapatkan nutrien. Air yang terkumpul di dalamnya sering mengandungi bangkai serangga yang sedang mereput.
Dalam sesetengah keadaan, ia juga boleh dicemari oleh najis haiwan kecil atau kelawar yang berada di kawasan sekitarnya. Ini bermakna air yang kelihatan bersih di dalam periuk kera sebenarnya boleh menjadi habitat kepada pelbagai mikroorganisma yang berpotensi menyebabkan penyakit.
Begitu juga dengan air hitam atau air berkelodak yang lazim ditemui di kawasan bertakung. Ketika kecemasan, air seperti ini mungkin menjadi pilihan terakhir untuk mengelakkan dehidrasi.
Namun dari perspektif saintifik, air bertakung merupakan persekitaran yang sangat sesuai untuk pengumpulan pelbagai agen penyakit termasuk bakteria, virus dan parasit.
Musuh Yang Tidak Kelihatan
Parasit menyerang secara senyap. Seseorang mungkin berasa sihat hari ini tetapi mula mengalami gejala beberapa minggu kemudian. Antara parasit yang sering dikaitkan dengan air tercemar ialah Giardia spp., Entamoeba spp., Cryptosporidium spp. dan Balantidium sp.
Parasit-parasit protozoa ini menyerang sistem pencernaan manusia dan boleh menyebabkan cirit-birit berpanjangan, sakit perut, kembung serta gangguan penyerapan nutrien.
Selain itu, terdapat juga kumpulan helminth atau cacing usus seperti Ascaris spp. (cacing gelang), Trichuris spp. (cacing cambuk) dan Taenia spp. (cacing pita). Apabila telur atau larva parasit ini memasuki tubuh melalui air yang tercemar, ia boleh membesar dan hidup di dalam sistem pencernaan manusia untuk tempoh yang lama.
Mengapa Risiko Menjadi Lebih Tinggi?
Apa yang ramai tidak sedar ialah keadaan fizikal seseorang memainkan peranan besar dalam menentukan tahap risiko jangkitan. Apabila seseorang mengalami kebuluran, keletihan melampau dan kekurangan nutrien, sistem imun badan akan menjadi semakin lemah. Dalam keadaan inilah parasit mempunyai peluang yang lebih besar untuk membiak dan menyebabkan jangkitan.
Oleh sebab itu, individu yang tersesat dalam hutan untuk tempoh yang panjang bukan sahaja perlu dipantau dari segi kecederaan fizikal dan dehidrasi, malah perlu diberikan perhatian terhadap kemungkinan jangkitan parasit yang berlaku secara tersembunyi.
鈥楤om Jangka鈥 Selepas Diselamatkan
Ramai beranggapan bahawa episod ngeri berakhir sebaik sahaja mangsa ditemui. Sebenarnya, bagi sesetengah individu, cabaran sebenar mungkin hanya bermula selepas mereka pulang ke rumah.
Jangkitan parasit ini boleh diibaratkan sebagai “bom jangka” mikroskopik. Parasit boleh hidup dan membiak dalam tubuh selama beberapa minggu sebelum gejala mula muncul.
Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah cirit-birit berpanjangan, berlendir atau berdarah, sakit dan kekejangan perut, loya serta muntah berulang, kelesuan melampau dan kehilangan berat badan tanpa sebab yang jelas.
Sekiranya gejala ini muncul selepas seseorang terdedah kepada sumber air yang tercemar, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan dengan segera.
Jangkitan bawaan air sebenarnya boleh dicegah.
Bagi mereka yang gemar mendaki, berkhemah atau melakukan aktiviti lasak, beberapa langkah mudah mampu mengurangkan risiko dengan ketara.
Pertama, didihkan air sehingga benar-benar mendidih sebelum diminum. Kaedah ini masih merupakan cara paling berkesan untuk memusnahkan kebanyakan parasit bawaan air. Kedua, bawa penapis air mudah alih. Teknologi penapisan moden kini cukup ringan untuk dimasukkan ke dalam beg pendakian dan yang ketiga, simpan tablet penulen air dalam kit kecemasan. Dalam situasi tiada sumber api atau peralatan memasak, tablet ini boleh menjadi penyelamat nyawa.
Sekiranya semua peralatan tiada, air hujan yang ditadah terus menggunakan bekas bersih lazimnya merupakan pilihan yang lebih selamat berbanding air sungai atau air bertakung.
Pengajaran Dari Belantara
Kisah mereka yang tersesat di dalam hutan sentiasa mengajar kita tentang ketahanan dan semangat manusia untuk terus hidup. Kadangkala ancaman terbesar bukanlah apa yang berada di hadapan mata kita, sebaliknya ia mungkin tersembunyi dalam seteguk air yang kelihatan jernih.
Di dalam belantara, air sememangnya boleh menjadi penyelamat yang menghalang dehidrasi dan menyambung hayat manusia. Tetapi pada masa yang sama, air juga boleh menjadi medium yang membawa masuk parasit dan pelbagai mikroorganisma berbahaya ke dalam tubuh secara senyap.
Oleh itu, setiap kali kita melangkah masuk ke dalam hutan, bukan sahaja keberanian dan semangat pengembaraan yang perlu ada, tetapi juga ilmu pengetahuan. Ada yang terlalu kecil untuk dilihat, tetapi cukup besar untuk mengubah kehidupan seseorang.
