Lebih Ramai Pelajar Perlu Sertai MySISWA JoC. – TNC HEPA

Oleh YM Raja Nur Aina Raja Hussain Shah
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 25 Jun 2026 – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman mahu lebih ramai pelajar menyertai Program MySISWA Job on Campus (JoC), sebuah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman kerja sebenar sambil menjana pendapatan tambahan dalam persekitaran universiti.

Beliau berkata, program tersebut bukan sahaja membantu pelajar menambah duit poket, malah menjadi platform terbaik untuk membangunkan kemahiran insaniah dan memperkukuh pengalaman kerja yang dapat meningkatkan nilai resume mereka selepas bergraduasi.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman kerja dalam suasana profesional tanpa menjejaskan komitmen akademik.

“Selain memperoleh pendapatan tambahan, mereka juga dapat membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, kepimpinan serta pengalaman yang sangat bernilai untuk kerjaya masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat agar memastikan proses pembayaran elaun kepada pelajar dilaksanakan dengan pantas sebaik sahaja tugasan disahkan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

Melalui program ini, pelajar yang terpilih akan menerima kadar bayaran sebanyak RM6 sejam dengan had maksimum 20 jam seminggu sepanjang semester dan sehingga 40 jam seminggu semasa cuti semester.

Antara skop pekerjaan yang ditawarkan termasuk bidang dokumentasi dan operasi, perkhidmatan, teknikal, tugasan berasaskan projek atau profesional serta keusahawanan.

Kesemua tugasan yang ditawarkan tidak melibatkan pekerjaan berisiko tinggi atau pekerjaan kategori 3D (Dirty, Dangerous and Difficult).

Program MySISWA Job on Campus terbuka kepada pelajar warganegara Malaysia yang berstatus aktif dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dan telah menamatkan sekurang-kurangnya satu semester pengajian serta mempunyai Purata Nilai Gred (PNG) minimum 2.50.

Melalui inisiatif ini, 鶹 berharap lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan peluang yang disediakan untuk menambah duit poket, memperoleh pengalaman kerja yang relevan dan membina resume yang lebih mantap sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

Leave a Reply