Oleh Ruzanna Ab Razak
Foto Irfan Halim
BANGI, 6 MEI 2026 – Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), 鶹 terus memperkukuh agenda literasi kewangan mahasiswa melalui penganjuran Arena Kewangan Siswa Intervarsiti (AKSI) AKPK 2026 baru-baru ini.
Program dianjurkan secara kolaboratif oleh Kelab Tunas AKPK dan Kelab Pengurusan di bawah naungan Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (PMFEP), dengan sokongan strategik rakan industri dan penyertaan universiti jemputan.
AKSI 2026 menghimpunkan pelbagai pengisian yang memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang pengurusan kewangan, teknologi kewangan dan pendekatan pembelajaran interaktif.
Menurut pensyarah FEP yang menubuhkan Kelab Tunas AKPK di bawah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FEP, Dr. Masrina Nadia Mohd Salleh, penubuhan kelab itu bertujuan memperkukuh literasi kewangan belia melalui pendekatan yang lebih dekat dengan tingkah laku generasi masa kini.
“VESPID dan UnBound menjadi rakan strategik penting kerana masing-masing menawarkan platform gamified yang terbukti mampu meningkatkan penglibatan pelajar dalam pembelajaran kewangan,” katanya.
Kemuncak program menyaksikan perasmian Kelab Tunas AKPK FEP 鶹 yang disempurnakan oleh Dekan FEP, Prof. Dr. Mohd Azlan Shah Zaidi. Perasmian itu menandakan langkah penting FEP dalam memperkukuh peranan mahasiswa sebagai duta kecil literasi kewangan di peringkat universiti.
Majlis turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada barisan kepimpinan Kelab Tunas AKPK FEP 鶹 sebagai simbol komitmen mahasiswa untuk menggerakkan program kesedaran kewangan secara lebih aktif, tersusun dan dekat dengan keperluan generasi muda.
Program ini turut dimeriahkan dengan Pertandingan Debat Khas Kewangan yang melibatkan penyertaan universiti jemputan, termasuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan INTI International College Subang.
Pertandingan tersebut menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran berhujah, berfikir secara kritis dan membincangkan isu-isu ekonomi serta kewangan semasa. Pasukan dari INTI International College Subang muncul sebagai johan pertandingan dan menerima hadiah wang tunai serta sijil penghargaan.
