Bengkel Training of Trainers bagi Penyelidikan di bawah Dana Endowmen Kepimpinan Wanita
Pada 22 Mei 2026, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah hashim telah mengadakan Bengkel Training of Trainers bagi Penyelidikan di bawah Dana Endowmen Kepimpinan Wanita (Memperkasa Kepimpinan Wanita B40 dalam Keluarga melalui Sokongan Psikososial Berasaskan Komuniti) yang menghimpunkan tenaga pengajar dan fasilitator membincangkan modul dalam memperkukuh pendekatan sokongan psikososial kepada para suri rumah.
Antara pengisian utama bengkel ini ialah pendedahan tentang cara mengenali dan mengawal emosi dengan lebih sihat untuk memastikan para suri bukan sahaja terus kuat untuk keluarga, tetapi juga mampu menjaga kesejahteraan diri sendiri. Kami percaya, emosi yang difahami dengan baik mampu melahirkan suasana keluarga yang lebih harmoni dan komuniti yang lebih sejahtera.
Dalam usaha memperkasa kesejahteraan emosi wanita, Bengkel Training of Trainers anjuran Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim yang dilaksanakan pada 22 Mei 2026 turut membuka ruang kolaborasi bersama rakan penajaan, Puan Nurul Shafikah Mohd Razali (Fika Razali), pengasas produk MyMuka. Produk yang dibangunkan yang lahir daripada pengalaman peribadi beliau ini mengangkat penjagaan diri (“self-care”) bukan sekadar rutin kecantikan, tetapi juga sebagai ruang untuk memulihkan emosi dan menghargai diri sendiri. Melalui sesi ini, tenaga pengajar juga diperkenalkan dengan pendekatan penjagaan diri yang menggabungkan rutin penjagaan wajah bersama elemen relaksasi melalui frekuensi bunyi tertentu menggunakan “sheet mask” dan “headphone”.
Menariknya, inovasi yang dibawa turut diinspirasikan daripada konsep pembentukan kristal molekul air; di mana frekuensi bunyi yang harmoni dipercayai mampu memberi tindak balas positif kepada struktur air, sekali gus membantu mewujudkan pengalaman penjagaan diri yang lebih menenangkan dan menyeluruh. Bukan sekadar tentang kecantikan luaran, tetapi juga tentang memberi ruang kepada wanita untuk berehat seketika, menenangkan emosi dan kembali menghargai diri sendiri.
Terima kasih Puan Fika atas sokongan dan kolaborasi yang diberikan dalam menjayakan bengkel ini. Semoga lebih banyak usaha seperti ini dapat membuka ruang kesedaran bahawa penjagaan diri juga merupakan sebahagian daripada kesejahteraan wanita.
















