Majlis Makan Malam & Apresiasi Atlet KTSN
Pada 23 Mei 2026, Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia telah berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam & Apresiasi Atlet KTSN bertempat di Dewan Tun Syed Nasir. Program ini diadakan khusus sebagai satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kolej bagi meraikan segala usaha, pengorbanan serta pencapaian cemerlang para atlet yang telah mengharumkan nama KTSN sepanjang Kejohanan Sukan Antara Kolej (SUKEM) bagi sesi 2025/2026.
Majlis berprestij ini dianjurkan dengan matlamat utama untuk menyuburkan semangat kesukanan, disiplin yang tinggi, serta nilai kebersamaan dalam kalangan warga kolej. Melalui pengiktirafan rasmi ini, pihak pengurusan kolej dan barisan kepimpinan pelajar berharap dapat menyemai rasa bangga serta setiakawan yang utuh, di samping memupuk budaya sihat yang seimbang antara kecemerlangan akademik dan pencapaian kokurikulum mahasiswa.
Malam apresiasi ini menjadi simbol penghargaan yang amat bermakna kepada setiap titik peluh, komitmen tidak berbelah bahagi, dan semangat juang yang telah dipamerkan oleh para atlet hebat Syed Nasir di gelanggang sukan. Sepanjang majlis berlangsung, para hadirin telah disajikan dengan tayangan video multimedia yang mengimbau kembali detik-detik perjuangan atlet, sesi penyampaian anugerah mengikut kategori, serta ucapan penghargaan daripada pihak pentadbiran kolej sebagai tanda sokongan moral yang berterusan.
Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana malam yang meriah dan penuh bermakna, malah turut berfungsi sebagai medium reflesi positif dalam memperkukuh hubungan sosial dan integrasi antara atlet, urus setia, dan pihak pengurusan. Diharapkan agar penghargaan rasmi ini dapat menjadi pembakar semangat serta sumber inspirasi yang kuat kepada seluruh warga atlet KTSN untuk terus melakar kejayaan, meningkatkan prestasi, serta mengekalkan rantaian kecemerlangan sukan pada masa akan datang.
Selain itu, Majlis Apresiasi Atlet KTSN ini juga secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui pembudayaan aktiviti fizikal yang aktif, serta SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan platform pembelajaran tidak formal yang mampu membentuk sahsiah, jati diri, dan kemimpinan graduan yang holistik serta berdaya saing.
#ATLET HEBAT SYED NASIR