Program kemasyarakatan “Empowering Children of Two Marginalized Communities through Literacy for Social Inclusion and Mobility”, 16-22 Mac 2018
KITA bersama-sama Multimedia University Melaka (MMU Melaka), Majlis Kebajikan Sosial Sarawak dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah bekerjasama dengan Persatuan Disleksia Sarawak menganjurkan Program ‘Empowering Children of Two Marginalized Communities through Literacy for Social Inclusion and Mobility’ selama satu minggu (16-22 Mac 2018) di Kem PLKN Millennium, Beranang, Selangor. Program kem literasi ini dibiayai oleh The EDGE Kuala Lumpur Rat Race 2017. Program ini bertujuan untuk memastikan semua kanak-kanak dan remaja yang mengambil bahagian akan mempunyai asas kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia. Kem ini adalah sesi pertama dan sesi kedua dijangkakan berlangsung pada cuti sekolah akan datang (Ogos 2018).
Peserta program kem literasi seminggu ini adalah seramai 26 orang kanak-kanak dan remaja Orang Asli Temuan Hulu Langat, Selangor. Walau bagaimanapun terdapat tujuh kanak-kanak Melayu dan seorang kanak-kanak Cina turut menyertai kem seminggu ini. Justeru, keseluruhan bilangan peserta bagi kem literasi seminggu sesi pertama ini adalah seramai 34 orang. Modul pengajaran & pembelajaran Bahasa Malaysia adalah modul foniks*PINTAR yang dibangunkan oleh Dr. Ong Puay Hoon, Presiden Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk), dengan kerjasama ahli-ahli Persatuan Disleksia Sarawak.
Penyertaan ini amat menggalakkan memandangkan sasaran awal program ialah 20 orang peserta daripada komuniti Orang Asli Temuan sahaja.
Sekalung penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada Encik Meor Ezree Syazrin bin Meor Abdul Ghani, Pengurus Kem PLKN Millennium, Beranang, dan semua Jurulatih Kem PLKN Millennium atas sokongan hebat dan bantuan sukarela yang diberikan kepada kem literasi ini.
Laporan oleh:
Prof. Dr. Ong Puay Liu
Felo Utama KITA & Penyelaras Program ‘Empowering Children of Two Marginalized Communities through Literacy for Social Inclusion and Mobility’



